Saya adalah seorang lelaki yang kedekut air mata. Hampir saja saya tidak menangis setiap kali kematian saudara atau sahabat. Seingat saya kali terakhir saya menangis adalah ketika kematian adik istimewa saya, Aishah yang mengidap sindrom down. Pergi akibat jantung berlubang. Peristiwa itu berlaku 18 tahun yang lalu.
Dalam Ramadhan yang baru berlalu, saya kehilangan seorang kakak dan seorang sahabat yang sama-sama dalam PALAPES di Universiti Malaya. Berturutan dua hari berturut-turut. Kakak hari Khamis dan sahabat itu hari Jumaat. Seperti kematian bapa pada 2003, perasaan saya Cuma sedih dan pilu kerana kehilangan seorang kakak yang sangat penyayang dan prihatin kepada kami walaupun kami berlainan ibu. Pergi akibat kompilasi penyakit terutama kencing manis yang berpanjangan. Kehilangan sahabat saya pula, Farid Sulaiman – seperti kehilangan sahabat sepermainan saya, Ismail Ayub atau panggilan manjanya Rosdi. Kedua-duanya mati akibat kemalangan. Tambah tragis beritanya digilis treler disampaikan sahabat-sahabat yang lain dalam nada yang sangat sayu, diambil pula gambar keratan akhbar ditandanama dalam bukumuka, ada gambar mayat ditutup dengan sesuatu mungkin kain atau kertas. Pun begitu, saya hanya rasa sedih dan sebak, namun tidak menyebabkan saya mengalirkan air mata.
Akhirnya pada pagi ini kala saya bangkit untuk solat isyak dek kerana terlena penat, kala membuat air susu kambing hi-goat, seperti Kak Yah saya masih hidup datang menegur di cuping telinga – Adik.. panggilan yang selalu arwah guna kala cuba mematahkan perasaan ego saya. Dan saya memang selalu kalah. Saya, seorang lelaki yang kedekut airmata, tiba-tiba pagi ini mengalir deras bagai air yang dilepaskan dari empangan. Kasih sayangnya adalah bisa yang selalu meruntun nurani saya sebagai seorang adik.
Telah dua minggu kakak kesayangan saya itu meninggalkan anak-anaknya menjadi yatim walau sudah besar-besar semua. Hampir setiap hari saya teringat-ingat terutama ketika bermain dengan bahan rempah sup, saya teringat Kak Yah pernah membuat sup haruan yang paling sedap yang pernah saya makan. Sup itu khas untuk saya sahaja kerana ketika menziarahinya saya baru lepas dibedah akibat apendik, beberapa hari sebelum saya naik pentas graduasi. Hampir saja saya terlepas konvokesyen kerana hanya tinggal 5 hari semasa kena bedah, alhamdulillah terminum air akar kayu yang amat mujarab ketika majlis bercukur di rumah sahabat, Ustaz Muhsien Sulaiman.
Kak yah, seorang kakak yang tiada ganti. Hanya Allah sahaja yang layak membalas segala budi baik, jasa dan kasih sayangnya terhadap kami. Semoga arwah kak yah ditempatkan bersama para solihin, golongan yang dijanjikan syurga. Amin.
Al-Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan