Nama beliau Prof. Dr. Mohd Zawawi bin Mahmood. Merupakan mantan pensyarah di Universiti Malaya suatu ketika dahulu. Saya tidak pasti tahun berapa, jika tak silap zaman 80-an.
Selalu di zaman kecil saya mendengar tentang beliau dari mulut mak dan cik, namun tidak pernah saya kenal sehinggalah pada Oktober 2009 ketika Husmidi Husin @ Abe Di membawa saya melawat beliau yang terlantar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Abe Wi dan Abe Di adalah sepupu saya dan kedua-duanya merupakan anak sulung keluarga masing-masing. Bezanya Abe Wi adalah cucu sulung kepada datuk kami, Abdul Rahman @ Deraman atau panggilan mesra orang kampung, Pak Mahmood (Pok Mamud) yang bermaksud bapak kepada Mahmood. Walaupun saya di Kuala Lumpur selama 4 tahun kerana belajar di UM tapi tidak ditakdirkan saya berjumpa semasa dia sihat dan masih bekerja sebagai pengarah syarikat.
Gambar di atas adalah perjumpaan kedua kami, kunjungan pertama saya ke rumah barunya yang mana menempatkan kehidupan baru bersama isteri barunya berketurunan Cina. Juliana nama isteri baru, memeluk Islam sebelum kahwin dengannya.
Sepetang bersembang dengan Abe Wi di belakang rumahnya di Jalan Tempayan, Kampung Paya Jaras Dalam. Banyak cerita yang keluar dari mulutnya. Cerita-cerita yang menarik untuk dikongsi dengan sanak-saudara yang lain, namun tidak pasti apakah mereka bersedia menerima cerita-cerita itu. Cerita-cerita yang menjadi rahsia keluarga sejak zaman datuk kami. Yang tidak diceritakan kepada bapa-bapa kami semasa muda oleh datuk kami. Cerita-cerita yang saya rasa tidak dapat saya kongsikan di sini kerana terlalu peribadi dan mungkin tidak diterima sesetengah orang, atau disalahgunakan.
Abe Wi telah kembali ke rahmatullah jam 8.40 malam, pada 27 April 2011. al-Fatihah. Semoga ruh beliau dicucuri rahmat Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan