Jumaat, Januari 18, 2008

Puisi hijrah

Puisi hijrah saya nukilkan pertama kali semasa pensyarah Media Cetak Dakwah –Puan Zabehah Ibrahim memberi kerja kursus supaya membuat artikel, cerpen atau puisi. Maka kebetulan ketika itu sudah terlalu hampir dengan 1 Muharram 1428H maka saya bercadang hendak menukilkan sebuah puisi pada waktu pagi 1 Muharram. Maka terhasillah sebuah puisi yang agak panjang. Pada tahun ini pula saya menukilkan sebuah lagi puisi hijrah tetapi sehari lebih awal. Maka di bawah ini saya siarkan kedua-dua puisi tersebut untuk tatapan sahabat-sahabat sekalian. Puisi ini agak mematuhi gaya sajak lama, yang mementingkan rima dan bentuk dalam persembahannya. Mungkin kerana terikut-ikut dengan gaya sajak pujangga-pujangga silam.


Tafakur Hijrah

Aku masih berdiri
Merenung dalam diri
Menghitung dosa hati
Sebelum hatiku mati.

Hatiku kian gelap
Lantaran api cinta kepada Ilahi yang malap
Ruh Islamku tidak digilap
Kerana kejahilan yang menelap.

Orang lain sudah berlari
Mengejar cinta Ilahi
Kembara yang suci
Ke negeri abadi.

Sedang aku masih nanar
Mencari arah perjalanan hidup
Yang lurus dan benar
Demi bayangan-Nya yang redup.

Iktibar hijrah nabi
Aku kembara sendiri
Mencari cinta ilahi
Dalam kekalutan duniawi.

Tafakurku dalam-dalam
Tentang kejadian seluruh alam
Betapa agungnya engkau Tuhan
Maha Pengasih Maha Penyayang.

Kumuhasabahkan diri
Mencari-cari jatidiri
Yang ditenggelami
Keegoan manusiawi.

Tafakurku dalam diam
Fikirkan tentang dosa
Yang hitam zulumat
Dalam hati sendiri.

Berikanku petunjuk ya Ilahi
Jalanmu penuh ranjau berduri
Jikapun aku adalah pemimpin tertinggi
Didepan-Mu kuhanya abdi.


Hasbullah H.M
20 Januari 2007 M/ 1 Muharram 1428 H
Kolej Kediaman Kelima Universiti Malaya

dan ini adalah puisi kedua-yang baru

TAFAKUR HIJRAH II

Lapan hari lalu tahun baru masihi
orang menyambut ghairah sekali
esok pula tahun baru hijriah
entah apakah akan dirai meriah
aku hanya menanti dengan sabar
adakah orang lain juga merasa debar.

Kadang-kadang aku rasa terharu
setiap kali sambutan tahun baru
ramai orang memasang azam
banyak pula yang menjadi angan
impian dan cita-cita yang dikejar
gugur bersama semangat yang hambar.

Sejenak kudiam bertafakur
di saat semua berdengkur
seusai doa di atas sejadah
merajut harapan kepada Allah
semoga dunia kembali aman
manusia berlumba mencari pedoman.


HASBULLAH HAJI MOHAMED
Kolej Kediaman Kelima
Universiti Malaya.
9 Januari 2008.
30 Zulhijjah 1428 H

Tiada ulasan:

Myblogloglaq