Khamis, Februari 21, 2008

CAMNE TU?

Posting ini adalah editan sebuah makalah yang dikeluarkan oleh Balai Islam Kolej Kediaman Kelima UM yang diedarkan oleh sahabat saya, Shamsuddin, tatkala saya hendak keluar cari tiket pulang mengundi. Dengan harapan agar kita sama-sama mengoreksi diri kita, sejauhmanakah kita dalam bab yang sesiapapun tidak mampu nak elak jika terlalu menurut kata hati yang dirajai nafsu (penasihatnya tentulah syaitan).

Berdua-duaan seolah-olah menjadi adat yang perlu dilalui oleh golongan muda. Sesetengah orang menamakan ia sebagai dating, sesetengah couple. Namun tiada seorang pun yang menamakan ia berdua-duaan, berkhalwat atau berkata- saya nak keluar sekejap, nak buat maksiat dengan girlfriend atau pak we saya.

Perlakuan sumbang ini bukan setakat di taman bunga, malah di kompleks membeli belah, kedai makan, dalam perpustakaan dan jika diperhatikan di Universiti Malaya, fenomena ini boleh dilihat di Tasik Varsiti, Bukit Cinta (elok ubah la nama ni-nama warisan yg tak berapa elok) malah berkepit di fakulti dan di mana-mana hatta ke pasar malam sekalipun!

Apa yang dikesali ialah, tahap faham agama majoriti pelajar universiti bukanlah yang boleh dibanggakan. Namun yang lebih saya kesali ialah kawan-kawan saya sendiri yang satu fakulti malah ada yang satu kursus pengajian dengan saya- Sarjana Muda Pendidikan Islam- yang bila sudah bergelar graduan nanti akan menjadi guru agama dan mendidik anak bangsa seagama apa itu halal dan haram dalam perhubungan lelaki dan perempuan! Susah juga ramai yang belajar agama tinggi tapi tidak faham agama. Kebarangkalian ramai orang ingat agama Islam ni cuma sembahyang, puasa dan zakat. Mungkin? Bukan mungkin lagi dah... Tuan-tuan, Agama Islam ialah 24 jam terus menerus tanpa ada satu saat pun terkecuali!

Bukan saya hendak mendabik dada bahawa saya ini baik sangat, namun dalam bab ni saya betul-betul jaga. Saudara-saudari cuba guna ilmu Ttasir (istilah loghat Kelantan-dah guna peringkat Malaysia dah kot) iaitu apa yang kita nak buat kita nilai apakah kita mengambilkira sensitiviti diri kita sendiri. Sebagai contoh; apakah perasaan kita jika seorang remaja lelaki usung adik perempuan kita (bahasa kasar) atau bonceng (rasanya lembut sikit istilah ni) adik kita ke hulu ke hilir. Bagaimana? Marah? Bengang? Rasa nak penampar? Begitu juga kalau kita buat kat adik orang lain atau anak orang. Orang pun kurang lebih macam tu la juga.Tapi jika anda tidak sensitif terhadap perkara ini; saya ingin mengklasifikasikan golongan sebegini sebagai; bangang lagi tolol!

Maaf jika istilah ini terlalu kasar. Tapi inilah hakikat. Kita tidak sensitif terhadap maruah dan kehormatan adik kita. Kita tidak sensitif terhadap maruah keluarga kita. Seorang perempuan adalah tanggungjawab bapanya, tanggungjawab abangnya, tanggungjawab suaminya bahkan tanggungjawab semua. Jika tidak mengapa kuasa wali terletak pada seorang lelaki. Mengapa autoriti cerai terletak ditangan suami? Mengapa maruah, keselamatan, dan bagai-bagainya lagi disandarkan kepada lelaki? Ada rasionalnya. Lelaki ada ‘kekuatan’ untuk menampung, membantu ‘kelemahan’ wanita. Tapi rasional itu yang kita fikir. Allah swt memang buat sesuatu hukum untuk kemaslahatan makhluk-Nya. Cuma makhluk spesis manusia (kita) yang jenis keras pedal (bongkak, ego, dan sewaku dengannya) sikit.

Hanya kita sekarang yang banyak fikir apa rasional tentang sesuatu hukum, sedangkan pada zaman Nabi saw dahulu, sahabat menerima sesuatu hukum dengan lapang dada, tanpa banyak soal, tiada bantahan, tiada minta sesuatu pandangan untuk kepentingan diri, tanpa prejudis! Beza kan dengan zaman sekarang?. Ramai ustaz dan ulama’ kemukakan pandangan agama yang berselindung untuk menyedapkan telinga pemerintah-melegakan hati rakyat (yang mindanya sudah diracuni hegemoni yang berjaya disogok oleh barat). Akibatnya, perzinaan merata-rata, mendedahkan aurat berleluasa, rogol bermaharajalela. Tak berani. Kalau ada yang berani, kena pecat. Kalau ada yang lantang kena gam. Yang baru nak naik terpaksa bercakap hal remeh temeh, isu yang orang dah ulas. Tapi tak apa, mungkin nak bina pengaruh. Dah dapat pengaruh, lantanglah dia. Bila dah lantang, kena gam pun tak apa. Ye ke? Hangpa pikiaq sendiri ah...

Kita lihat dan perhati zaman sekarang, pasangan-pasangan yang tidak ‘diiktiraf’ dan direstui, berpegang-pegangan tangan, berpeluk-pelukkan tanpa segan silu, tanpa ingat kepada Allah dari pelbagai peringkat- dari sekolah menengah hingga IPT. Tuan-tuan, tidak semua orang pandai tu cerdik. Orang paling pandai dan cerdik ialah orang yang paling mengingati mati dan bersedia untuknya. Adakah dengan membuat maksiat dan melanggar perintah Allah siang malam cerdik tuan-tuan? Apa yang peliknya mereka berbangga dengan perbuatan haram itu (kalau tak bangga takkan nak tunjuk-tunjuk kat orang ramai). Lebih menyedihkan, terdapat pasangan yang membuat maksiat itu adalah orang yang bertudung. Tapi bagi saya, apa nak hairan, cikgu makan berdiri, murid makan berlari berganti-ganti. Jika golongan Akademi Pengajian Islam yang tiap-tiap hari tadah kitab pun tunjuk contoh tak elok, apatah lagi pelajar fakulti lain yang orang mengajar kat surau pun liat nak turun, tengok televisyen saluran tu elok-elok duk tayang program Islamik dia pi alih rancangan lain.

Pada semester lepas saya dan sahabat-sahabat sekumpulan menemuramah beberapa orang guru Pendidikan Islam di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Petaling Jaya untuk subjek Metodologi Pengajaran Akhlak. Menurut ustaz tersebut, lapan dari sepuluh orang gadis (pelajar sekolah tu) yang 'bercinta' yakni sudah mempunyai pasangan sudah tidak suci lagi. Terlanjur dengan teman lelaki masing-masing. Kata-kata Ustaz tadi dikukuhkan oleh kenyataan Ustazah yang kebetulan adalah senior saya yang sudah setahun tahun mengajar di sekolah tersebut. Menurut beliau ada seorang pelajar perempuan membuat pengakuan kepadanya bahawa dia sudah terlanjur dengan teman lelakinya beberapa kali. setelah berasa menyesal lalu dia mendapatkan ustazah untuk mengadu. Tuan-tuan, saudara saudari; pelajar perempuan tersebut baru sahaja tingkatan satu, dan teman lelakinya baru tingkatan dua! Inilah hakikat; kebebasan, keterdedahan dan keterbukaan masyarakat kepada pelbagai sogokan dan hegemoni kefanaan fatamorgana duniawi menyebabkan masyarakat kita semakin ketandusan nilai agama, kepupusan budi bahasa dan kehilangan akar budaya bangsa.

Kebanyakan kita sekarang telah dipesongkan dengan konsep mengenali atau bercinta dahulu baru berkahwin. Ada yang berkata “Jika tidak keluar bersama-sama, masakan kita boleh mengenal pasangan yang akan bakal menjadi suami atau isteri kita?”

Adakah untuk mengenali bakal pasangan kita nanti, atau lebih tepat jika ditulis... adakah untuk menuju perkahwinan perlu membuua perkara yang haram terlebih dahulu? Adakah perlu keluar bersama-sama, berdua-duaan ke kedai makan? Belajar di perpustakaan bersama dan sebagainya perlu dilakukan agar bila berkahwin nanti rumahtangga akan selamat dan sejahtera?

Memang elok mengenali pasangan masing-masing sebelum berkahwin, tetapi berdua-duaan bukanlah caranya. Cinta sebelum kahwin tidak salah dan bercinta selepas kahwin pun lagilah tiada salah! Yang menjadi salah dan masalah ialah membuat perkara haram sebelum berkahwin. Setiap gadis sepatutnya membuka fikiran dengan iman. Jika mereka mengenali seseorang jejaka yang dicintainya, dan bila dia mengajak untuk keluar bersama-sama, ia adalah isyarat tentang bagaimana rendahnya pandangan lelaki tadi terhadap wanita itu.

Adakah si gadis ini berendapat lelaki ini adalah lelaki yang baik, dan sesuai untuk dirinya kerana menganggap lelaki ini suka akan dirinya? Ubahlah sedikit pemikiran saudari dengan iman, dengan pandangan bahawa jika belum berkahwin pun sudah diajak membuat dosa, adalah petanda bahawa lelaki tadi tidak mampu membimbing untuk menuju ke syurga Allah.

Jika selepas seronok berdua-duaan selama setahun, baru si lelaki melamar si gadis, kekasih untuk berkahwin, dan berkahwinlah mereka, apakah pengalaman semasa berdua-duaan itu akan mengindahkan lagi suasana suami isteri? Apakah ia akan menyemarakkan cinta ketika berumahtangga?

Bagaimana pula jika mereka tidak jadi berkahwin, tetapi sudah maklum kepada orang lain bahawa mereka adalah pasangan kekasih yang sentiasa berdua-duaan bagaikan merpati sejoli?

Realitinya, orang akan memandang rendah pada si gadis yang malang itu dan memandang hero si lelaki yang jahat itu. Ironisnya jika mereka terlanjur berzina, si gadislah yang menanggung beban dan menerima padahnya, sementara lelaki terus mencari mangsa dengan menjaja cinta kasanovanya.

Adakah mereka ini akan beristighfar atau bertaubat kerana telah melakukan perbuatan-perbuatan haram ketika berdua-duaan? Malah ada pasangan apabila terlihat berdua-duaan dulu. "Romantikkan? Walau diamarah oleh ayah...” tiada langsung perkataan- Astaghfirullah... kita telah membuat dosa masa sebelum kahwin dulu. Tiada langsung penyesalan.

Bagi pasangan yang berkahwin ekspres kerana kononnya terlanjur, tidak juga insaf dan memperbanyakkan taubat kepada Allah. Berdua-duaan ketika bercinta dulu, membawa padah serta mengukir catatan hitam dalam kehidupan iaitu lahirnya anak di luar nikah. Alangkah beratnya beban yang tertanggung si anak itu, yang tidak tersenarai sebagai anak yang sah. Tentunya hati ibu dan ayahnya akan menangis setiap kali menatap anak mereka itu, anak yang lahir dari persetubuhan haram. Itulah natijahnya berdua-duaan.

Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; “Barangsiapa (lelaki beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seseorang perempuan yang tidak bersama mahramnya. Kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat Ahmad).

Tiada ulasan:

Myblogloglaq