Isnin, Mac 16, 2009

Apa ini tok guru!

Apa ini tok guru, kasi sesat orang. Apa ini tok guru, main-main nombor. Aiya.. tok guru apa ini.

Semalam masa balik latihan tempatan (askar wataniah), setibanya di parkir saya lihat beberapa pemuda melayu sedang mengedar risalah dalam bakul motor. Kecuali motor saya sebab saya baru sampai. Lepas diorang bersurai dan saya pun siap sedia naik saya mampir ke sebuah motor dan cilok satu. Saya senyum. Tertulis begini pada kertas di bahagian bawahnya (saya salin sebijik semacam); 'Jangan Bimbang Tok Guru Sedia Menbantu'.. sudah tulis salah lepas tu cetak banyak-banyak bagi orang. Kasi malu la... moto dia canggih bunyi - Tanpa angan-angan tiada cita-cita tetapi tanpa usaha takkan menjadi kenyataan.. hahahaha hampeh punya bangang.

Beberapa pemuda itu pemuda Melayu. Islam barangkali. Kata perlembagaan sapa-sapa Melayu jadi automatik Islam. Tapi kalau diikutkan hukum, syirik dah depa ni. Munafik. Setakat saya tengok itulah hukum dia. Yang saya tak tengok entahkan sudah murtad. Nauzubillah. Yelah, bersekongkol dengan tok guru sami siam menurun nombor. Kalau yang disembah itu bukan Allah, tentulah depa meminta pada yang selain Allah. Kan syirik tu.

Apa ini tok guru, kasi sesat orang. Apa ini tok guru, main-main nombor. Aiya.. tok guru apa ini.

Orang Melayu memang ramai terjebak dengan gejala ini. dan manisnya tawaran yang datang ini kepada mereka yang memang berhasrat mencari wang dengan cara mudah ini (pada pandangan mereka). Timbangkanlah kesusahan di akhirat jika anda melakukan perbuatan laknat terkutuk ini. Tuhan bukan dua tiga. Tuhan itu Esa. Satu saja!

Ahad, Mac 15, 2009

Apa salahnya....errr... Eh.. tapi la kan... ish saya tak paham!

Mara tawar Nik Nur Madihah lanjut pelajaran ke London

KUALA LUMPUR: Mara menawarkan pinjaman penuh secara automatik kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, pelajar cemerlang yang memperoleh 20A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk melanjutkan pelajaran peringkat A Level di London.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata Mara akan berikan tawaran secara automatik tanpa perlu melalui proses temuduga atau mengisi borang.

"Kita berikan kes istimewa untuk adik ini dengan terus menghantar beliau ke luar negara untuk membuat A Level dahulu," katanya selepas melancarkan kempen satu keluarga satu syarikat/perniagaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

"Bagi pihak kementerian kita ucap tahniah. Saya sendiri dah bercakap dengan Nik Nur Madihah, dah cakap dengan ayah dia dan pagi tadi saya bercakap pula dengan guru yang mengajar pelajar ini.

"Pelajar ini kita lihat datang dari keluarga yang miskin dan saya tengok pelajar ini cemerlang. Masa dia UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah), dia mendapat 5A, PMR (Penilaian Menengah Rendah) 9A, dan SPM 20A," katanya.

Nik Nur Madihah, anak seorang nelayan, adalah pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan, mencipta sejarah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan Jumaat lalu dengan mendapat 19 1A dan satu 2A.

Beliau pernah menjadi antara pelajar terbaik PMR peringkat kebangsaan 2006 selepas mencatatkan keputusan 9A.

Noh berkata, surat tawaran itu akan diserah kepada Nik Nur Madihah minggu depan.

Beliau berkata, mengikut sistem yang digunakan Mara, seseorang pelajar itu perlu mengikuti kursus A Level di dalam negara terlebih dahulu sebelum membolehkan mereka layak melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Tetapi oleh kerana adik Madihah (ini) pintar, yang luar biasa (dan sudah) terbukti daripada dia kecil sampai besar, jadi dia mesti diberikan kelebihan. Sebab itu untuk adik Madihah saya bagi kelulusan khas untuk hantar terus ke London sebab dia kata dia minat nak belajar di United Kingdom.

"Kita akan usaha carikan dia tempat untuk buat A Level. Kita akan uruskan tempat dia belajar dan kita juga akan bagi pinjaman Mara untuk Madihah,"katanya.

Noh berharap kejayaan Nik Nur Madihah itu akan menjadi contoh terbaik untuk adik-adiknya sekaligus membolehkan keluarga itu keluar dari kepompong kemiskinan. - Bernama

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Mutakhir/20090315170857/Article/index_html

komen saya: Yang saya dengar dalam berita utama TV3, adik Nik Nur Madihah ingin melanjutkan pelajaran di Timur Tengah... tidak pasti adakah MARA tahu... kalau sudah tahu, apa salahnya meraikan hasrat adik Madihah.. meski saya tidak pasti adakah MARA akan menaja pelajar yang ingin ke sana atau tidak. Jika tidak ada pun, boleh saja diadakan... ini hanya komentar saya.. mungkin mereka yang berkenaan akan berkata -kau tahu apa? Saya hanya tahu jawab - Saya suka meraikan keinginan, hasrat dan cita-cita orang, sekadar yang saya mampu. Salahkah kita meraikan? apa salahnya kan...

Tapi, terpulang kepada empunya badan. Kalau adik MAdihah ubah fikiran ingin ambil A Level teruskan.. cuma jika adik Madihah menolak tawaran ke London dan meneruskan nawaitunya menyambung pelajaran ke Timur Tengah, saya tabik spring kerana berpendirian teguh sebagai pelajar Islam. Saya rasakan pun, belajar Sains dalam bahasa Arab lebih baik dari belajar dalam bahasa Inggeris. Cuma sekali lagi saya tegaskan, saya tidak menentang penggunaan bahasa Inggeris, tapi PPSMI yang mengelirukan. Inilah Hegemoni Globalisasi, apa sahaja yang dicanangkan barat semua dipandang eksklusif.. Eksklusif la sangat.

Tapi la kan... kenapa pinnjaman, bukan biasiswa? Dah tahu adik tu dari keluarga miskin, anak sulung lagi. Ish tak paham la saya... kalau nak tolong, tolong betul-betul!

Tapi... katanya empunya cerita, Madihah nak sambung pelajaran di United Kingdom... saya silap dengar ke MARA yang tahu riwayat lain.. huh.. entahlah...

*banyak tapi kali ni.. macam nak kena balik dgn ketapi je balik cuti ni... hihi


Jumaat, Mac 13, 2009

JIKA BAHASA ITU JIWA BANGSA

Kau lukis pelangi di dada langit
sedang tanganku patah
tatkala menulis cinta di kanvas air
dan segala manusia derita
tatkala sang penguasa membunuh jiwa
dalam dada cerita mereka
yang cuba dilakar
dengan dada terbakar.

Kau larik cinta pada emas
aku hanya mampu mengukir sayang
pada kayu lantai usang
sedang mereka berjuang
dengan mata jerih-pedih
demi halkum bangsa
bakal diwarisi anak masa depan
entah kau aku dan mereka
masihkah ada lagi.

Jika bahasa itu jiwa bangsa
maka kau bunuhlah bahasa itu
hantarkanlah algojo juak derhaka
apa kami marhaen kerdil hina ini mampu
bersuara pun kau lihat kami seperti manusia bisu.

Jika bahasa itu jiwa mana-mana bangsapun
kurasakan bangsaku nanti akan lenyap
kerana jiwanya terus disakiti
oleh pemimpin yang sungguh berani
berlagak Tuah sepertinya dia
begitu sayangkan bahasanya
entahkan terkentut pun dia menyebut
opss.. i am sorry!

Setelah kini namanya Malaysia
kini patutlah siapapun yang jadi pejuang bahasa
harus berasa bimbang biarpun sedikit
kata-kata Tuah mungkin hanya
menjadi mitos semata.

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa


Sabtu, Mac 07, 2009

AKHIRNYA... KITA KAN PERGI JUA



siapapun yang hidup
pastikan mati
siapapun yang datang
pastikan pergi

dia telah pergi
dan kita pun bakal
menyusuli

ps; arwah Zubir Ali pernah mengajar saya sekejap dua tahun sudah dalam satu seminar penulisan lirik dakwah... semoga arwah dicucuri rahmat-Nya. al-fatihah.


ENTAH APA-APA

Kawan serumah saya seakan melatah. Ada nuansa marah pada nada bicara. Saya pun turut merasa. Semua sebab kebangangan manusia. Memang bobrok nyata. Refleksi biasa apabilamenonton berita. Saya sudah tahu. Dan tak pernah teruja menonton. Tapi kawan saya tetap nak tengok juga. Pagi ni pun ada lagi kawan yang tengok ulangan dalam you tube.

Apa ceritanya? Seorang datuk yang dapat gelaran datuk kerana memberi sumbangan kepada negara kerana masyhur namanya dalam bidang sukan. Pemain nombor satu dunia tak silap dia sekarang. Kami tak kisah dia kaya, sudah rezeki dia. Tapi kalau orang dah kaya diberi insentif berpuluh ribu untuk memberi semangat kepada dia apakejadah namanya. Kawan tu dah kaya duit berjuta. Sudah la anak orang kaya. Dia pula boleh buat rumah sendiri yang tak kurang hebatnya dari rumah ibu bapanya. Sebab dia sendiri kaya.

Inilah kerajaan yang memang adil. Orang kaya ditambah kekayaannya. Orang miskin tak berdaya bagi sikit sudah ler. Sebab apa sangat sumbangan orang miskin yang jadi penoreh getah, penanam padi. Tu pun jadi kuli. Biarkanlah mereka terus miskin, apa mereka peduli.

Inilah yang kita kena fikirkan sama-sama. Kita lihat sahaja pada musim rakyat Malaysia secara berjemaah bersedih dengan umat Islam Palestin. Kalut kutip derma untuk dihantar ke sana khususnya Gaza. Tapi banyak pula duit diberikan hadiah untuk pemenang pertandingan rancangan realiti tv. Padahal mereka ni yang bersungguh kutip sedekah orang.

Kini seakan sudah berhenti kesedihan itu. Sudah reda. Nanti tunggu israel serang besar-besaran barulah kalut balik. Saya dengar ada ketumbukan tentera nak ditubuhkan. Nampaknya memang kita hanya tunggu dan berkata, oh saya lihat...

Dan... teruskanlah beri insentif kepada pemain yang menjaja ke seluruh dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam Hadhari yang terbuka dalam bab pemakaian altletnya. Menjadi sebuah negara contoh kepada ‘negara Islam’ lain. Boleh dedah aurat sesuka hati. Tunjuklah apa saja yang ada di sini sana kerana itu adalah hak mereka. Teringat saya pada senyum kambing di dada akhbar yang dialognya tertulis kurang lebih begini

+ suka saya melihat nicol dapat anugerah datuk semalam

- saya lebih suka melihat beliau bermain.

Apa yang tersirat dalam dialog itu ialah – mata mana yang tidak terkesima melihat anak gadis bermain yang berpakaian Cuma 30 peratus menutupi badannya? Inilah panorama sebenar manusia. Memang dah dekat dah kita.

Alahai... masyakat kita kan... entah apa-apa...

Khamis, Mac 05, 2009

PENANGGUHAN BENGKEL LATIHAN MENGAJAR

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya Bengkel Latihan Mengajar terpaksa ditangguhkan kerana guru kita; Dr Zawawi dan Ustaz Rahimi terpaksa menghadiri satu seminar khas untuk pensyarah atas arahan Naib Canselor yang kita semua sayangi.

Saya terus menangguhkan bengkel ini dengan menghubungi Ustaz Ajib iaitu pegawai JAKIM, yang bekerjasama dengan MAIWP dan Muafakat. Meskipun kita diberi penceramah hebat iaitu Prof Emeritus Dato' Dr. Osman Bakar dan Prof Dr. Sidek Baba namun matlamat bengkel tidak akan tercapai tanpa guru kita yang akan menyampaikan pengisian penting untuk keperluan latihan mengajar nanti. Walauapapun kita tetap amat berterima kasih kepada kedua-dua pendidik hebat kerana sudi mencemar duli memberi input berguna kepada kita.

Cuma tidak pasti lagi tarikh seterusnya. Kena bincang dengan ustaz dulu. Akan saya usahakan secepat mungkin. Tarikh cadangan 28 - 29 Mac atau 4 - 5 April. Memang kelihatan saya yang memberi tarikh kpd ustaz, ini kerana saya kena mengambil kira juga sahabat-sahabat yang melangsungkan perkahwinan mereka pada 14 - 15 mac dan 21 - 22 Mac. Hal ini kerana memang tiada kompromi dalam bab kedatangan. Jadi, mereka yang kahwin kena datang juga. Bullan Madu tunggulah lain kali. Tak kira depa pengantin baru ke apa. Nak praktkal ke taknak? taknak takpa, ana tak ada apa-apa. Cuma uruskan kebajikan hangpa jaa.. Cuma... Kalau ada yang ada hal jugak pada mana-mana tarikh cadangan di atas tu kena jumpa Ustazah Syamsiah sendiri. Buat kira sendiri la ya...

Saya tahu ramai yang bimbang dan tak kurang juga yang tidak puas hati dengan tarikh bengkel ini. Namun apakan daya haruslah kita redha. Sabar la ye... saya demam pun gagahkan diri bagi memastikan program ini terlaksana. Bukan nak berbangga atau apa, cuma nak sahabat-sahabat empati sedikit pada saya yang menanggung beban yang bukan sedikit. Anggaplah masalah yang saya hadapi ini masalah kita bersama kerana saya sedang membantu sahabat sekalian. Tidak adil kepada saya andai ada yang tidak puas hati datang melepaskan geram kepada saya. Hargailah pengorbanan orang lain. Saya tidak minta sahabat simpati kepada saya, tetapi cukuplah dengan memahami bahawa saya dan kawan-kawan lain berkorban masa dan sebagainya.

Kerana kita hanya merancang dan Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Penentu segala maka ayuh kita melihat peristiwa yang tak tersangka ini ada hikmah di sebaliknya.

Sama-samalah kita doakan program-program terakhir kita bersama ini terlaksana dengan jayanya. Dan jangan lupa, bayar duit tu cepat-cepat ye...

Saya Yang Setia Yang Menjalankan Tugas,

HASBULLAH HAJI MOHAMED

Pengarah Bengkel Latihan Mengajar 2009

Ahad, Mac 01, 2009

Kalam Hukama'


"Siapa yang mengusahakan keredhaan Allah sampai manusia kesal kepadanya, ia akan dibantu Allah dalam menghadapi manusia. Dan siapa yang tidak menghiraukan Allah agar disenangi manusia nasibnya akan diserahkan Allah pada manusia." Oleh itu tetaplah hati kita dalam takut pada Allah karena bila kita takut pada Allah, Dia akan membantu kita terhadap manusia. Tetapi kalau kita takut pada manusia mereka tidak akan dapat menolong kita terhadap Allah sedikit pun.

Myblogloglaq